LEMBU milik Tey kelihatan lemah dan kelaparan selepas dua hari terperangkap dalam banjir yang melanda daerah Segamat sejak Ahad lalu.
LEMBU milik Tey kelihatan lemah dan kelaparan selepas dua hari terperangkap dalam banjir yang melanda daerah Segamat sejak Ahad lalu.
BERNAMA

Segamat: Tiada kata yang mampu diungkap, hanya air mata menjadi saksi kehibaan Tey Teng Swee apabila kandang lembu yang diusahakannya sejak lima tahun lepas hilang sekelip mata 'ditelan' dalam kejadian banjir di Batu 7 Jalan Muar, dekat sini, sejak Ahad lepas.

Wajah penternak berusia 60 tahun itu juga kelihatan sugul memikirkan nasib 120 ekor lembu pedaging dari baka Charolais, Bali, Belgian Blue dan Brahman yang masih hilang dalam kejadian banjir yang melanda daerah itu.

Ketika ditemui, Tey berkata beliau tidak menyangka kandang setinggi lapan kaki yang dibinanya akan ditenggelami air.

"Saya dan pekerja cuba untuk mengeluarkan lembu-lembu berkenaan, tetapi gagal kerana kawasan sudah dipenuhi air dan haiwan tersebut sudah kelihatan penat kerana tidak diberikan makanan.

"Kami hanya berjaya menyelamatkan kira-kira 20 ekor lembu dengan menggunakan bot, yang kemudianya terpaksa ditambatkan di tepi jalan," katanya yang memakai anduh pada tangan kirinya, akibat patah ketika cuba menyelamatkan lembu-lembunya itu.

ANTARA lembu yang mati kerana lemah setelah meredah banjir yang melanda kandang lembu Tey di Batu 7, Segamat.
ANTARA lembu yang mati kerana lemah setelah meredah banjir yang melanda kandang lembu Tey di Batu 7, Segamat.

Lebih memilukan, menurut Tey, biarpun berjaya menyelamatkan sebahagian ternakannya, kebanyakan haiwan ternakannya itu berada dalam keadaan lemah sehingga ada yang mati akibat kepenatan dan kelaparan.

Beliau berkata walaupun Jabatan Perkhidmatan Veterinar ada membantu dengan memberi bantuan makanan kepada haiwan ternakannya, tetapi dalam keadaan banjir, lembu tersebut tidak mampu untuk bergerak apatah lagi mengharungi air banjir yang deras.

"Saya tidak tahu nak buat apa sekarang, dengan keadaan lembu yang masih lemah… saya harap saya boleh bangkit lagi selepas ini," katanya.

Tey berkata berikutan bencana itu beliau menganggarkan jumlah kerugian sekitar RM600,000 melibatkan empat baka lembu pedaging yang diusahakannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 6:30 AM