Muhammad Aidil Firas (kiri) dan Nur Anis Zulaikha memerlukan bantuan orang ramai untuk menjalani pembedahan. FOTO Rosli Ahmad
Muhammad Aidil Firas (kiri) dan Nur Anis Zulaikha memerlukan bantuan orang ramai untuk menjalani pembedahan. FOTO Rosli Ahmad
Nur Izzati Mohamad


SELAMA 19 tahun menantikan kehadiran cahaya mata pertama, kini pasangan suami isteri dari Kuala Nerang, Kedah diuji apabila bayi lelaki mereka menghidap penyakit jantung berlubang yang memerlukan pembedahan segera.

Zolhizan Zakaria, 42, dan isteri Masnorwati Abd Rashid, 37, sudah lama menunggu kehadiran cahaya mata bagi melengkapkan kehidupan mereka.

Belasan tahun bersabar untuk mengecapi saat bahagia itu akhirnya Masnorwati disahkan mengandung akhir Ogos tahun lalu dan melahirkan putera sulungnya Mei lalu.

Namun bayi mereka yang diberi nama Muhammad Aidil Firas Zolhizan yang kini berusia lima bulan disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Menurut Zolhizan, mereka mendapat tahu perkhabaran duka itu ketika anaknya berusia dua bulan apabila mendapati pernafasan bayi sulung mereka tidak lancar.

“Ketika itu, Muhammad Aidil menerima suntikan vaksin sebelum dia dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar kerana masalah pernafasan.

“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa sedihnya kami apabila doktor memaklumkan Muhammad Aidil mempunyai masalah jantung berlubang dan memerlukan pembedahan segera untuk menyelamatkan nyawanya,” katanya ditemui pada sidang media di Pertubuhan Kebajikan One Hope, Bukit Mertajam hari ini.

 Chua Sui Hau (tengah) bersama dari kanan, Masnorwati, Zolhizan, Mohd Shafizuan dan Nor Syamimi merayu sumbangan orang ramai untuk anak mereka. FOTO Rosli Ahmad
Chua Sui Hau (tengah) bersama dari kanan, Masnorwati, Zolhizan, Mohd Shafizuan dan Nor Syamimi merayu sumbangan orang ramai untuk anak mereka. FOTO Rosli Ahmad

Zolhizan berkata, dia dan isteri reda dengan ujian itu walaupun pahit memandangkan sudah lama menunggu cahaya mata dalam kehidupan mereka.

“Ini semua ujian dan sebagai ibu bapa kami reda dan mengharapkan anak kembali sembuh.

“Terima kasih kepada semua yang membantu memudahkan urusan termasuk pihak yang menampung kos pembiayaan pembedahan Muhammad Aidil apatah lagi saya tak mampu kerana hanya bekerja sebagai pemandu traktor,” katanya.

Pada sidang media itu, pertubuhan berkenaan merayu orang ramai membantu mengumpul dana pembedahan berjumlah RM130,000 bagi mengubati Muhammad Aidil dan bayi perempuan, Nur Anis Zulaikha Mohd Shafizuan berusia 10 hari yang turut berdepan masalah jantung.

Ibu bapa bayi perempuan itu, Mohd Shafizuan Rodzi, 24, dan Nor Syamimi Abu Hassan, 25, dikurniakan cahaya mata pertama selepas mendirikan rumah tangga tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas Nur Anis Zulaikha dilahirkan 29 September lalu dia dikesan menghidap kecacatan jantung dan kini berada di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU).

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan One Hope, Chu Sui Hau berkata, buat permulaan pihaknya menyampaikan RM10,000 sebagai wang pendahuluan bagi membolehkan dua bayi itu menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta.

“Kos pembedahan untuk Muhammad Aidil RM70,000 manakala Nur Anis Zulaikha pula RM60,000.

“Pertubuhan ini akan membantu dua bayi ini supaya pembedahan segera dilakukan dan berharap keprihatinan rakyat Malaysia untuk turut menyumbang bagi memudahkan urusan dua keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad melalui nombor 3193433435.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 3:56 PM