Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Tandong, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Kampung Tandong, Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Mohamed Farid Noh


Segamat: Di sebalik kedukaan berdepan bencana yang menyebabkan kediaman mereka ditenggelami bah, kira-kira 117 mangsa banjir di Balai Raya Kampung Tandong, Buloh Kasap, di sini, bersyukur dengan keprihatinan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada kerajaan.

Penduduk turut berterima kasih kerana BWI diterima awal, ketika masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekali gus membolehkan mereka membeli barang keperluan segera.

Penduduk Kampung Batu 5, Buloh Kasap, Sarwan Mohd Nor, 58 berkata dia sudah tiga hari berlindung di PPS Balai Raya Kampung Tandong selepas rumahnya dinaiki banjir sehingga paras bumbung.

Katanya, banjir kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku selepas kali terakhir bencana itu berlaku pada tahun 2006 dan 2011 lalu.

"Alhamdulillah, terima kasih atas keprihatinan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob kerana memahami penderitaan mangsa banjir yang sangat terjejas.

"Jika dulu BWI diterima lewat, namun kerajaan kini menyalurkan wang ihsan ketika kami masih di PPS sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan," katanya ketika ditemui selepas lawatan Perdana Menteri di PPS itu, hari ini

Banjir bertambah buruk di negeri ini dengan bilangan mangsa banjir melonjak kepada 5,598 orang daripada 1,516 keluarga yang ditempatkan di 79 PPS, setakat jam 12 tengah hari ini.

Sementara itu, penduduk Kampung Tandong, Mardiana Abdul Aziz, 49, berkata BWI yang ditingkatkan kepada RM1,000 berbanding RM500 sangat membantu mangsa banjir terjejas.

Katanya, proses mendapatkan BWI juga lebih mudah dan tidak perlu lagi mengisi borang dan menyertakan pelbagai dokumen selain pengesahan pihak berkuasa.

"Saya lega kini semuanya dipermudahkan.

"Terima kasih kepada kerajaan yang menyalurkan BWI dengan segera dan tanpa syarat bukan-bukan.

"Dapatlah penduduk termasuk saya beli keperluan penting termasuk tilam, peti sejuk dan pakaian berikutan hampir semua barangan keluarga sudah tenggelam berikutan air bah melepasi bumbung sejak tiga hari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 5:15 PM