TANGKAP layar di laman Twitter memaparkan kenderaan diletakkan di kawasan lapang di Bandar Baru Salak Tinggi dikenakan kompaun MPSepang.
TANGKAP layar di laman Twitter memaparkan kenderaan diletakkan di kawasan lapang di Bandar Baru Salak Tinggi dikenakan kompaun MPSepang.
Samadi Ahmad


Sepang: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bersedia memberi pengecualian kompaun ke atas pemilik kenderaan yang terbabit banjir.

Sebelum ini ada antara kenderaan itu diletakkan di petak parkir serta kawasan lapang di Medan 120, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) di sini.

Yang DiPertua MP Sepang, Datuk Abd Hamid Hussin, berkata, pada 28 Disember lalu anggota penguatkuasa Unit Tempat Letak Kenderaan (TLK), MPSepang mengeluarkan sebanyak 51 kompaun ke atas kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, terdapat sebanyak 32 kompaun dikeluarkan atas kesalahan gagal mempamerkan kupon bayaran TLK di Jalan 1.

Katanya, tindakan kompaun ini dikeluarkan atas kegagalan pemilik kenderaan dan pengusaha bengkel membayar caj TLK yang dikuatkuasakan oleh MPSepang.

"Kompaun dikeluarkan terhadap 5i kenderaan kecuali sebuah kereta Perodua Myvi kerana dikenalpasti berlumpur dan disyaki kesan daripada banjir" katanya tadi.

Baru-baru ini tular di lamanTwitter memaparkan anggota penguatkuasa UnitTLK MPSepang mengeluarkan kompaun ke atas kenderaan yang terkena banjir dan diletakkan di hadapan sebuah bengkel di BBST.

Abd Hamid berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berkenaan status kenderaan yang diletakkan di kawasan itu.

Menurutnya, sekiranya perkara itu dimaklumkan kepada MPSepang, sudah pasti pihaknya akan menggunakan budi bicara bagi membantu menempatkan kenderaan yang terbabit banjir dan tidak mengenakan sebarang kompaun kepada pemilik berkenaan.

Katanya, pemilik yang meletakkan kenderaan di atas kawasan lapang dan taman adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 8 (1)Undang- Undang Kecil Taman, MPSepang 2005 dan boleh dikenakan kompaun maksimum sehinggaRM 1,000.

"Kenderaan yang dikompaun pada tarikh itu adalah pelanggan bengkel di kawasan berkenaan. Sebelum ini pengusaha bengkel itu sudah bersetuju untuk membayar caj parkir namun tidak menjelaskan bayaran sebelum tindakan kompaun dikeluarkan," katanya.

"Kawasan BBSTadalah kawasan yang tidak terbabit bencana banjir dan MPSepang berharap tempat ini tidak dijadikan tempat longgokan kereta rosak dan terbiar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:06 PM