Oleh Mohamed Farid Noh

Segamat: Mangsa banjir di negeri ini terus melonjak kepada 1,827 orang membabitkan 466 keluarga yang ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 12 tengah hari ini.

Ia berbanding hanya 1,646 mangsa daripada 425 keluarga yang ditempatkan di 28 PPS, setakat jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan mangsa melonjak kepada 1,771 daripada 452 keluarga yang ditempatkan di 30 PPS.

Ia berbanding hanya 1,615 daripada 418 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS, setakat jam 8 pagi tadi.

Vidyananthan berkata, Tangkak yang menjadi daerah kedua terjejas banjir di Johor turut naik dengan 40 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak berbanding hanya 31 mangsa daripada tujuh keluarga jam 8 pagi tadi.

"Sebanyak 30 PPS dibuka di Segamat berikutan trend air banjir yang mula menaik dan cuaca dijangka hujan berterusan.

"Antara kawasan yang terjejas banjir di Segamat ialah Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Pekan Air Panas, Paya Lenga, Paya Lebar, Gelang Chinchin, Tenang dan Sedeng.

"Turut terjejas banjir adalah kawasan Paya Lang, Kampung Baru Gemas Bahru, Taman Gembira, Taman Wira serta Taman Bintang selain Kampung Awat.

"Kawasan Kampung Jabi, Kampung Tengah,Tungku Tiga, Sekijang, Seberang Batu Badak, Kampung Jawa/Logah dan Kampung Sri Makmir turut terjejas banjir di Segamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, hampir semua daerah di Johor diramalkan hujan hari ini dan penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing.

"Bermula hari ini hingga Rabu depan fenomena air pasang besar juga berlaku dan penduduk di kawasan berhampiran laut dan pesisiran pantai di negeri ini perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan," katanya.

Keadaan terkini Kampung Spang Loi Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Keadaan terkini Kampung Spang Loi Segamat, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:30 PM