PENDUDUK membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir  di Kampung Sabak Aur, Muar. FOTO Iqmal Haqim Rosman
PENDUDUK membersihkan rumah yang terjejas akibat banjir di Kampung Sabak Aur, Muar. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohamed Farid Noh

BANJIR di negeri ini semakin pulih apabila jumlah mangsa semakin berkurangan kepada 516 orang, sehingga jam 4 petang tadi.

Ia berbanding 739 mangsa terjejas daripada 138 keluarga yang ditempatkan 11 pusat pemindahan sementara (PPS), pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan berkata, hanya Muar dan Tangkak yang masih terjejas dengan banjir.

"Setakat ini, masih ada 516 mangsa banjir di negeri ini membabitkan 483 orang di Muar yang ditempatkan di enam PPS, 33 ditempatkan di sebuah PPS di Tangkak.

"Dua PPS di Pontian serta sebuah lagi di Batu Pahat sudah ditutup sepenuhnya jam 12 tengah hari dan 4 petang tadi," katanya pada kenyataan.

Vidyananthan berkata, paras air di beberapa kawasan turut mulai surut.

"Penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir di Muar, Tangkak, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru diminta sentiasa waspada berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:51 PM