Wakil daripada UTHM menyerahkan sumbangan barang keperluan kepada mangsa banjir di Pahang. Foto Ihsan UTHM
Wakil daripada UTHM menyerahkan sumbangan barang keperluan kepada mangsa banjir di Pahang. Foto Ihsan UTHM
Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menggerakkan misi bantuan banjir yang kesembilan dengan mengedarkan peralatan keperluan harian bernilai RM90,000 kepada mangsa banjir.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, dana yang terkumpul untuk misi berkenaan adalah hasil sumbangan warga UTHM dan juga orang ramai.

"UTHM melalui Yayasan UTHM berkolaborasi dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi menyalurkan bantuan banjir kepada mangsa banjir.

"Sebahagian daripada sumbangan berkenaan juga disalurkan kepada mangsa banjir di beberapa kawasan di Pahang baru-baru ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wahid berkata, pada masa yang sama UTHM menggerakkan hampir 100 sukarelawan bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan Pekan Sungai Lembing, Pahang membabitkan kawasan komuniti seperti kedai, balai raya dan seumpamanya.

"Pihak universiti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyumbang dalam membantu mangsa yang terkesan dengan bencana alam berkenaan.

"Semoga segala sumbangan yang diberikan oleh para penyumbang sama ada daripada kakitangan UTHM atau orang ramai dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir," katanya.

Katanya, universiti melalui kluster 'UTHM Prihatin' sentiasa peka dan cakna terhadap isu-isu kemasyarakatan terutama berkaitan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 1:19 PM