GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) merekodkan kemasukan seramai 2,484 penuntut baharu Ijazah Sarjana Muda bagi Semester Satu Sesi 2021/2022.

Naib Canselor UTHM Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, mereka akan mengikuti kuliah secara hibrid bermula 10 Oktober ini mengikut keperluan dan penetapan dibuat oleh fakulti masing-masing.

Menurutnya, penuntut baharu berkenaan perlu mengikuti Minggu Haluan Siswa yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 3 Oktober hingga 7 Oktober ini.

"Disebabkan negara akan memasuki fasa endemik, pihak universiti membenarkan kemasukan penuntut baharu ke kampus untuk menjalani pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara bersemuka.

"Ini bagi memberi peluang kepada mereka merasai kehidupan di kampus, sekali gus memastikan sistem PdP di universiti ini terus relevan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sektor Pendidikan Tinggi, Pengoperasian IPT yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan tiada penularan Covid-19 di kampus.

"UTHM turut menetapkan beberapa syarat dan keutamaan dalam membenarkan penuntut menjalani kuliah secara fizikal antaranya mereka perlu melengkapkan dua dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin.

"Pihak universiti mengucapkan tahniah kepada semua penuntut yang terpilih menjadi warga UTHM dan berharap mereka dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:10 PM