FAHMI ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
FAHMI ketika sidang media selepas mesyuarat kabinet di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Iskandar Ibrahim

Putrajaya: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak menolak kemungkinan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak akan dibincangkan Jemaah Menteri selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya.

Beliau berkata, isu terbabit bagaimanapun tidak disentuh langsung pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

"Tidak ada bincang, mungkin masa Perdana Menteri kembali ke tanah air minggu depan.

"Tetapi saya percaya apa yang dikatakan mengikut proses (pandangan Perdana Menteri bahawa pertimbangan selepas kes 1MDB), itu yang beliau sebut," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anwar dalam wawancara bersama Bloomberg pada Forum Ekonomi Qatar (DEF) 2024 di Doha semalam, berpandangan Yang di-Pertuan Agong hanya perlu mempertimbangkan tahanan rumah kepada Najib selepas kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi bekas Perdana Menteri itu selesai.

Perdana Menteri menegaskan beliau hanya akan mengesyorkan perkara itu jika pandangannya diminta oleh Seri Paduka.

Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 4:05 PM