Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) mengumumkan cuti tempoh bertenang bermula semalam hingga 25 Disember 2021 susulan bencana banjir luar biasa di beberapa negeri, baru-baru ini.

Naib Canselor UTHM, Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, sepanjang tempoh berkenaan, semua kuliah adalah dibatalkan dan tiada sebarang pentaksiran serta penghantaran tugas dilakukan.

"Kuliah dan semua aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan disambung semula pada 26 Disember 2021.

"Pensyarah boleh menggunakan minggu ulang kaji pada 16 Januari 2022 hingga 22 Januari 2022 bagi tujuan penggantian kuliah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wahid berkata, sekiranya ada penuntut yang masih terkesan menghadapi masalah penggantian kelas sepanjang tempoh yang diberi, mereka boleh berhubung atau memaklumkan kepada fakulti masing-masing.

"Selain itu, tiada sebarang perubahan ke atas kalendar akademik sesi 2021/2022 sedia ada selain tempoh bertenang berkenaan dan tarikh-tarikh seperti peperiksaan akhir adalah dikekalkan.

"Seperti sedia maklum, beberapa negeri dan kawasan dilanda bencana banjir yang luar biasa baru-baru ini," katanya.

Katanya, situasi berkenaan memberi kesan kepada aktiviti PdP bagi semester akademik Sesi 1 2021/2022, terutamanya kepada penuntut UTHM yang berada di Kelantan, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak dan Selangor yang sedang mengikuti PdP secara dalam talian.

"Pengurusan tertinggi UTHM amat prihatin dan mengambil berat kepada kebajikan dan situasi penuntut yang berhadapan kesukaran mengikuti PdP pada masa ini.

"Diharapkan semua penuntut yang terbabit dengan bencana banjir berada dalam keadaan selamat dan diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 10:40 AM