PUSAT Pemberian Vaksin di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, Batu Pahat. Foto Ihsan UTHM
PUSAT Pemberian Vaksin di Dewan Sultan Ibrahim UTHM, Batu Pahat. Foto Ihsan UTHM
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, di sini, dijangka dapat memulakan operasinya, 15 Julai ini.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, inisiatif itu bagi menyokong usaha kerajaan dalam memastikan imuniti kelompok dapat dilaksanakan dalam masa terdekat sekali gus mencapai sasaran 80 peratus rakyat divaksin.

"PPV berkenaan akan dilancarkan dan beroperasi secara rasmi pada 15 Julai 2021 bagi memastikan sasaran imuniti kelompok negeri Johor khususnya di daerah Batu Pahat dapat dicapai dengan segera.

"Pembukaan PPV berkenaan adalah di bawah kategori integrasi pertama di fasiliti universiti awam dalam negeri Johor," katanya dalam kenyataan dekat sini.

Wahid berkata, dianggarkan 3,000 orang akan menerima vaksin bermula 8 pagi hingga 8 malam setiap hari dalam seminggu.

"Ketika ini persiapan giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dari pusat dan negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Johor dan Pejabat Daerah Batu Pahat.

"PPV berkenaan turut akan dibantu para petugas daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sukarelawan dari Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVAC), Southern Volunteer yang terdiri daripada kakitangan UTHM dan petugas kesihatan dari Health Care Organizations (HCO)," katanya.

Katanya, mereka yang diberikan janji temu dinasihatkan untuk tiba di PPV berkenaan 30 minit sebelum waktu janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 4:38 PM