Antara penuntut UTHM yang pulang ke kampung masing-masing dengan menaiki bas. Foto Ihsan UTHM
Antara penuntut UTHM yang pulang ke kampung masing-masing dengan menaiki bas. Foto Ihsan UTHM
Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghantar pulang lebih 3,000 penuntutnya yang berada di Kampus Parit Raja dan Pagoh ke kampung halaman masing-masing untuk berhari raya.

Naib Canselor UTHM Prof Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, proses penghantaran penuntut secara berperingkat bermula 7 Mei lalu hingga esok membabitkan enam zon.

Menurutnya, UTHM menggunakan perkhidmatan 36 buah bas, satu van dan satu kereta bagi menghantar penuntut pulang sempena cuti Aidilfitri ini.

"UTHM melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar dan beberapa pusat tanggungjawab (PTj) lain juga menguruskan kepulangan mereka sebaik mungkin mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Wahid, seramai 661 penuntut yang berada di kampus induk dan kampus di Pagoh memilih untuk kekal berada di kampus ketika Aidilfitri.

"Oleh kerana mereka memilih untuk berada di kampus atas sebab-sebab tertentu, pihak kami akan memastikan 1 syawal nanti tetap diraikan bersama.

"Kami mengharapkan para ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai keberadaan anak masing-masing di sini kerana pihak UTHM tetap akan melayan dan menjaga mereka seperti anak sendiri," katanya.

Menurutnya, pihak UTHM mengucapkan terima kasih kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa mengambil berat berkaitan hal ehwal pelajar universiti berkenaan.

"Kami juga menghargai bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh pelbagai pihak dan agensi bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan penuntut terjamin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 11:41 AM