GAMBAR fail menunjukkan pendaftaran pelajar UTHM. FOTO Ihsan UTHM
GAMBAR fail menunjukkan pendaftaran pelajar UTHM. FOTO Ihsan UTHM
Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my


UNIVERSITI Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu dengan cara bersemuka, atau secara dalam talian, ataupun gabungan kedua-duanya mulai Ogos depan.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Wahid Razzaly berkata, kaedah itu membabitkan pelajar lama dan baharu dan bergantung kepada pelaksanaan di fakulti.

"UTHM akan mula menerima kemasukan pelajar baharu program diploma bagi sesi akademik 2020/2021 pada 4 Ogos depan.

"Proses pendaftaran pelajar baharu dan pelajar lama bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat dan tetap tertakluk kepada arahan daripada kementerian," katanya dalam satu kenyataan di Batu Pahat, hari ini.

Menurut beliau, bermula 4 hingga 10 Jun lalu calon pelajar menerima tawaran kemasukan ke UTHM dan mula membuat pembayaran yuran serta melengkapkan maklumat peribadi bagi membolehkan status sebagai pelajar diaktifkan secara automatik.

"UTHM turut menetapkan tarikh 4 hingga 5 Ogos ini sebagai tarikh pendaftaran calon pelajar bagi program diploma, bertempat di kolej kediaman cawangan Pagoh.

"Selepas pendaftaran, semua pelajar baharu berkenaan akan mengikuti Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) pada 4 hingga 7 Ogos sebelum memulakan kuliah semester khas yang dijadualkan berlangsung selama lapan minggu bermula 9 Ogos," katanya.

Tambah Wahid, bagi memastikan segala urusan berjalan lancar, UTHM akan memastikan proses pendaftaran dan pembelajaran pada sesi kali ini sentiasa mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak berkuasa yang lain.

"Pihak kami akan cuba memastikan warga kampus mengutamakan kebersihan diri, langkah keselamatan serta penjarakan sosial, selain turut mengikut arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 9:45 AM