Omar Ahmad
am@hmetro.com.my


Kulai: Asia Aeronautical Training Academy (AATA), akademi penerbangan milik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan ATAS Aeronautik Sdn. Bhd melancarkan pesawat terbang latihan milik institusi terbabit.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts Dr Wahid Razzaly berkata, pesawat latihan Diamond DA40 NG (pesawat satu enjin) dan DA42 (pesawat dua enjin) keluaran Austria yang dimiliki AATA, adalah pesawat generasi baru yang dilengkapi teknologi moden dan terkini.

Katanya pesawat empat tempat duduk ini digunakan sepenuhnya untuk melatih 40 kadet juruterbang yang sedang mengikuti latihan pelesenan di AATA.

"Latihan penerbangan secara rasmi sudah bermula awal September lalu. Setiap kadet juruterbang AATA ini dikehendaki melengkapkan 200 jam penerbangan menggunakan pesawat itu.

"Pada masa sama, kami juga melancarkan dron pertanian yang dihasilkan penyelidik universiti dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) yang dinamakan PINEXRI-20.

"Ia adalah dron yang akan digunakan untuk menyemai baja di ladang nanas serta dikendalikan secara autonomous (tiada pengemudi) yang dilengkapi perkhidmatan pengurusan berasaskan teknologi IoT (Internet of Thing)," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran di Senai Business Aviation Terminal di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Rosli Yaakub sebagai wakil rasmi Menteri Pengajian Tinggi.

Wahid Razzaly berkata, PINEXRI-20 milik UTHM ini adalah usaha universiti untuk memodenkan kepenggunaan teknologi bagi industri nanas tanah air, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti industri berkaitan selari dengan industri.

Katanya, pelancaran pesawat terbang milik AATA dan dron pertanian adalah sebahagian daripada komitmen universiti mengukuhkan bidang tujahnya iaitu pengangkutan.

"UTHM juga sedang dalam proses menaik taraf kampus Tanjung Laboh sebagai pusat latihan lapangan terbang, yang akan menjadi hub pembangunan penerbangan di zon selatan tanah air.

"Alhamdulillah sekarang ini peringkat akhir reka bentuk, dalam dua atau tiga bulan lagi tender berkaitan akan dikeluarkan, dengan bantuan KPT dan Jabatan Kerja Raya (JKR), ia dijangka siap akhir 2022 atau awal 2023," katanya.

Pesawat terbang latihan milik AATA iaitu akademi penerbangan milik UTHM di Senai Business Aviation Terminal di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Pesawat terbang latihan milik AATA iaitu akademi penerbangan milik UTHM di Senai Business Aviation Terminal di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 1:35 PM