Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penduduk Taman Johor dan Kampung Pasir, Tampoi yang terjejas dengan banjir kilat susulan hujan lebat pagi tadi kini berdepan dengan kesan lumpur dan sampah sarap.

Tinjauan di Jalan Belumut, Taman Johor mendapati banjir sudah surut namun kesan lumpur serta sampah sarap jelas kelihatan di atas jalan dan dalam rumah penduduk.

Penduduk, M Prakash, 26, berkata banjir kilat itu menyebabkan rumah pelanggannya yang baharu siap diubahsuai rosak teruk dengan nilai kerugian berjumlah RM30,000.

Katanya, dia dan pekerja baharu selesai menyiapkan kerja ubah suai rumah berkenaan semalam dan akan menyerahkannya kepada pelanggannya Jumaat ini.

"Namun awal pagi tadi jiran di sini menelefon saya memaklumkan rumah diubah suai ditenggelami air sehingga hampir satu meter apabila air Sungai Skudai yang terletak kira-kira 25 meter di belakang rumah melimpah apabila hujan lebat.

"Saya tiba kira-kira jam 5 pagi tadi dan mendapati air banjir dan sampah sarap sudah menenggelami rumah pelanggan.

"Apabila air surut kira-kira jam 8 pagi tadi, kesan lumpur dan selut memenuhi lantai rumah dengan kayu serta sampah sarap memenuhi bilik air malah tembok belakang yang siap dibina di sebelah sungai runtuh dan rosak," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, seorang lagi penduduk terjejas, Norisham Norman, 44 berkata berkata keluarganya panik kerana air naik begitu pantas memasuki kawasan rumahnya kira-kira jam 5 pagi tadi dan tidak sempat menyelamatkan barangan elektrik kecuali dokumen diri.

M Prakash, mengalihkan kayu dan sampah-sarap yang dibawa air sungai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
M Prakash, mengalihkan kayu dan sampah-sarap yang dibawa air sungai. FOTO Nur Aisyah Mazalan

"Rumah saya terletak hanya 25 meter dari Sungai Skudai. Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan air sungai melimpah dan tiba-tiba memasuki rumah penduduk.

"Saya dan isteri, Norlin Maskor, 41 terjaga dari tidur kira-kira jam 5 pagi selepas terdengar jeritan jiran yang memaklumkan air sudah naik di kawasan perumahan kami," katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian awal pagi itu, isteri dan dua orang anaknya berusia enam dan lapan tahun berlindung di bilik tingkat atas rumah.

"Saya tidak sempat selamatkan barangan rumah kerana air naik sehingga paras satu meter.

"Mujur banjir surut cepat dan pagi ini saya membersihkan rumah. Namun saya tetap bimbang banjir akan berulang memandangkan cuaca masih mendung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 12:42 PM