Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia membina semula hospital medan di negeri ini sekiranya perlu susulan kes jangkitan baharu Covid-19 membabitkan varian Omicron.

Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Muhammad Huzaimi Sabri berkata, namun setakat ini pihaknya belum menerima arahan berhubung keperluan itu.

"Jika diarahkan pihak atasan bagi membina (hospital medan), kita sudah bersedia.

"Namun setakat ini masih belum ada arahan dan akan bergerak sekiranya diperlukan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Muhammad Huzaimi ditemui di Majlis Simbolik Penutupan Hospital-Hospital Medan ATM Pulau Pinang di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah HPP Datuk Dr Teo Gim Sian.

Simbolik penutupan hospital medan berkenaan dilakukan dengan tiupan trompet dan penyerahan bendera Kor Kesihatan Diraja kepada Muhammad Huzaimi.

Dalam perkembangan lanjut, Muhammad Huzaimi berkata, Hospital Medan ATM HPP dan ICU Hospital Medan ATM Kepala Batas di sini, menjadi hospital medan di Malaysia yang terakhir ditutup susulan penurunan kes Covid-19.

Katanya, Hospital Medan ATM Kepala Batas beroperasi selama 216 hari selepas dibina pada 28 Mei manakala Hospital Medan ATM HPP yang dibuka pada 24 September lalu beroperasi selama 97 hari.

Terdapat tiga hospital medan di Malaysia yang terakhir ditutup pada hari ini iaitu dua di Pulau Pinang dan satu lagi di Johor.

Muhammad Huzaini menerima cenderahati daripada Dr Teo pada Majlis Penutupan Hospital Medan ATM di Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong
Muhammad Huzaini menerima cenderahati daripada Dr Teo pada Majlis Penutupan Hospital Medan ATM di Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini. FOTO Mikail Ong

"Ia susulan penurunan kes yang ketara hasil kejayaan dan keberkesanan langkah mitigasi serta program vaksin dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, ATM mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terbabit seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang membantu dalam pengoperasian hospital medan.

Terdahulu ICU Hospital Medan ATM Kepala Batas menempatkan sebanyak 24 katil dengan kumulatif pesakit Covid-19 kategori empat dan lima yang dirawat ialah seramai 421 orang.

Manakala Hospital Medan ATM HPP yang menempatkan sebanyak 100 katil pula mempunyai jumlah kumulatif pesakit Covid-19 kategori tiga dan empat seramai 499.

Rekod pesakit Covid-19 terakhir yang dicatatkan di kedua-dua hospital medan ialah pada 22 dan 28 Disember lalu.

Terdapat keseluruhan 10 hospital medan di Malaysia yang dibina bagi kegunaan perawatan pesakit Covid-19 antaranya ialah di Alor Setar, Kedah; Selayang, Selangor; Tawau, Sabah dan Kapit, Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 1:20 PM