Sik: Kerajaan negeri belum merancang memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mewujudkan hospital medan di negeri ini, berikutan wad hospital sedia ada masih mampu menampung pesakit Covid-19.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sudah meluluskan pembukaan Dewan al Farabi di Alor Setar bagi merawat pesakit Covid-19, manakala dua dewan lagi iaitu di Hotel Raia, Kepala Batas dan Dewan Wawasan, Jitra akan dibuka sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah.
"Kita faham ATM mempunyai kekangan untuk membuka lebih banyak hospital medan, saya rasa negeri lain lebih memerlukan hospital medan berbanding Kedah dan kita belum ada keperluan ke arah itu.
"Hospital Medan Kepala Batas, Pulau Pinang memang menjadi keperluan kerana ramai penduduk negeri lain tinggal dan bekerja di kilang di negeri itu, ia menyebabkan kes Covid-19 mereka tinggi dan mereka memerlukan kemudahan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Sik di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau berharap kes Covid-19 di Kedah kembali menurun selepas berlaku penularan dalam kalangan komuniti.
Katanya, rakyat Kedah perlu bekerjasama untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain hadir ke janji temu vaksinasi.
"Sejak akhir-akhir ini, kita lihat rakyat Kedah sudah mempunyai kesedaran tinggi untuk menerima vaksinasi sehingga ada yang datang sendiri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
"Sebenarnya tidak boleh datang terus ke PPV kerana mereka perlu mendaftar sama ada menerusi aplikasi MySejahtera atau pendaftaran biasa," katanya.
Selain itu, beliau turut memaklumkan, semua EXCO termasuk beliau akan menyumbang sebulan gaji pada Jun ini untuk Tabung Amanah Covid-19 kerajaan negeri bagi membantu penduduk yang terjejas.