Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Seramai 16 'pesakit Covid-19' yang sedang menerima rawatan di Hospital Medan, Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, diselamatkan dalam satu 'kebakaran', hari ini.

Dalam latihan kebakaran pada 3.40 petang itu, lima daripadanya dibawa menaiki kerusi roda dan pengusung manakala selebihnya berlari keluar bagi menyelamatkan diri.

Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berjaya 'mengawal kebakaran' dalam masa kurang 10 minit manakala pesakit pula dibawa ke HPP bagi menerima rawatan lanjut.

Situasi berkenaan disaksikan semasa latihan kebakaran dijalankan di Hospital Medan HPP yang dijangka akan beroperasi mulai esok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, A'azelan Hassan berkata, menerusi latihan itu mendapati, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan membuat persediaan cukup baik dalam menghadapi sebarang kemungkinan di kawasan berkenaan.

'PESAKIT Covid-19' dipindahkan ketika latihan kebakaran di Hospital Medan HPP, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
'PESAKIT Covid-19' dipindahkan ketika latihan kebakaran di Hospital Medan HPP, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Beliau berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah baik dengan menyediakan kawasan berkumpul (assembly area) selain melakukan proses sanitasi sebelum memindahkan pesakit Covid-19.

"Cuma mungkin kita akan membuat penambahbaikan terhadap pengudaraan memandangkan keseluruhan hospital medan ini dilengkapi pendingin hawa, jadi pengudaraannya perlu dalam keadaan baik.

"Jika berlaku kebakaran, asap dapat dikeluarkan dan pesakit mudah menyelamatkan diri atau diselamatkan," katanya.

Hadir sama, Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan ATM selaku Komander Hospital Medan HPP, Leftenan Kolonel Dr Zamri Derahman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 6:58 PM