Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima permohonan daripada beberapa negeri termasuk Kelantan dan Negeri Sembilan untuk membina hospital medan sebagai tambahan merawat pesakit kritikal Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya kini melihat dari segi keperluan selain meninjau jika masih ada ruang dan lokasi bersesuaian sebelum membuat pertimbangan.

Menurutnya, KKM menjangkakan peningkatan kes Covid-19 akan terus berlaku dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

"Kita menerima banyak permohonan untuk membina hospital medan ini antaranya di Kapit, Sarawak, Hospital Kepala Batas (HKB), Pulau Pinang dan juga Kelantan serta Negeri Sembilan.

"Namun, penambahan katil dan sebagainya bukan jalan penyelesaian. Apa yang lebih penting adalah orang ramai dapat terus membantu KKM dengan melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kendiri dan keluarga sekali gus mengurangkan kadar jangkitan.

"Saya percaya jika setiap orang mengamalkan langkah ini, pasti jumlah kes (positif baharu) akan menurun," katanya selepas mengadakan lawatan di ICU Medan HKB, di sini, hari ini.

Difahamkan, sehingga kini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membina hospital medan di Tawau, Sabah; Kapit, Sarawak; Pokok Sena, Kedah dan terbaharu di HKB, Pulau Pinang.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini KKM masih menghadapi masalah kekurangan terutama dari segi petugas kesihatan.

"Jadi, kita buka peluang kepada mana-mana pihak swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu apa yang perlu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan HKB, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya berterima kasih kepada ATM kerana memberi kerjasama yang padu kepada KKM.

"KKM dimaklumkan pada ketika ini terdapat 24 katil iaitu 12 katil untuk wad ICU yang dilengkapi alat bantuan pernafasan dan 12 lagi adalah katil bagi merawat pesakit Covid-19 tahap empat," katanya.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah (kiri) bersama Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi (dua dari kanan)  dan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri) meninjau persiapan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) secara 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas di sini.  FOTO DANIAL SAAD
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah (kiri) bersama Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi (dua dari kanan) dan dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (dua dari kiri) meninjau persiapan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) secara 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas di sini. FOTO DANIAL SAAD

Ditanya mengenai ada hospital yang tidak menerima pesakit kritikal yang tidak mempunyai harapan sembuh, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memberi keutamaan untuk merawat pesakit yang boleh diselamatkan.

"Perkara itu sudah lama dilaksanakan selepas memperoleh keputusan diagnosis di mana kita akan merawat pesakit yang mempunyai harapan untuk sembuh," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 4:03 PM