Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jumlah mangsa banjir di Selangor setakat jam 10 pagi ini menurun kepada 16,568 orang membabitkan 4,643 keluarga yang ditempatkan di 86 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Jumlah mangsa terus menurun yang mana pada tempoh sama semalam, mangsa yang direkodkan adalah 17,406 orang dan membabitkan 90 PPS.

Berdasarkan data di aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa adalah daripada 4,643 keluarga.

Sejumlah 11,189 adalah individu dewasa yang mana 5,738 lelaki manakala 5,451 wanita.

Bagi kanak-kanak, sejumlah 5,027 mangsa membabitkan 2,554 kanak-kanak lelaki dan 2,473 kanak-kanak perempuan.

Untuk bayi, sejumlah 352 direkodkan membabitkan 183 bayi lelaki dan 169 bayi perempuan.

Daripada jumlah keseluruhan mangsa, 670 orang adalah warga emas manakala 104 adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

Sementara itu dalam perkembangan lain, Polis Selangor memaklumkan bahawa tujuh laluan masih ditutup sehingga jam 10 pagi ini susulan banjir pada minggu lalu.

Laluan berkenaan adalah Jambatan FT 31 Dengkil - Banting di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang; Jalan Kuala Selangor – Bestari Jaya (IPD Kuala Selangor); Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh) dan Jalan Genting Peras – Kuala Klawang (IPD Kajang).

Selain itu, IPD Hulu Selangor menutup Jalan Kuala Kubu Bharu - Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja manakala IPD Petaling Jaya menutup dua laluan iaitu

Jambatan Jalan Menghala ke Lapang Sasar, Subang (Jambatan rosak akibat banjir) serta Jalan PJU 7, HadapanMRT, Mutiara Damansara (Jalan berlubang akibat banjir)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 11:12 AM
PPS yang diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, Shah Alam ditutup mulai petang semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
PPS yang diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, Shah Alam ditutup mulai petang semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH