GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Tidak ubah ibarat `segunung sampah' apabila sebanyak 6,069 tan sisa pepejal dilupuskan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan dalam tempoh seminggu sambutan Aidilfitri hingga 8 Mei lalu.

Pengarahnya, Siti Yusnita Mohamad Yusof, berkata, pelupusan sisa pepejal itu dilakukan di tiga tapak pelupusan di negeri ini.

Katanya, jumlah itu mengalami penurunan berbanding ketika perayaan Aidilfitri dalam tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan jumlah pelupusan sebanyak 6,793 tan sisa pepejal.

"Sisa makanan didapati paling tinggi dilupuskan iaitu 2,184 tan (36 peratus) dan daripada jumlah itu, kira-kira 76 peratus sisa buangan makanan boleh dielakkan daripada dilupuskan seperti nasi manakala 24 peratus sisa makanan tidak boleh dielakkan pembuangan seperti tulang ayam.

"Seremban merekodkan angka tertinggi melupuskan sisa pepejal iaitu berjumlah 4,643 tan," katanya semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam berjalan lancar ketika Aidilfitri, satu pelan strategi operasi dilaksanakan termasuk membabitkan 1,134 pekerja SWM Environment Sdn Bhd dan 165 kenderaan serta jentera bermula 1 hingga 5 Mei di 287 lokasi.

Sementara itu, Siti Yusnita, berkata ketiga-tiga tapak pelupusan sisa pepejal di Negeri Sembilan iaitu di Port Dickson, Kuala Pilah dan Jelebu masih mampu menampung jumlah pelupusan sisa pepejal dari tujuh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 4:30 PM