KEADAAN selepas banjir di Taman Sri Nanding, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
KEADAAN selepas banjir di Taman Sri Nanding, semalam. FOTO Eizairi Shamsudin
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jumlah mangsa banjir di Selangor menunjukkan penurunan mendadak apabila 8,821 individu yang ditempatkan di 56 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), setakat 11 pagi tadi.

Jumlah mangsa terus menurun hampir 50 peratus berbanding tempoh sama semalam yang merekodkan 16,568 orang dan 86 PPS.

Berdasarkan data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 2,543 keluarga.

Sejumlah 5,860 adalah individu dewasa membabitkan 3,030 lelaki manakala 2,860 wanita.

Bagi kanak-kanak, sejumlah 2,713 mangsa membabitkan 1,375 kanak-kanak lelaki dan 1,338 kanak-kanak perempuan.

Sejumlah 218 bayi turut direkodkan membabitkan 108 bayi lelaki dan 110 bayi perempuan.

Sementara itu, 378 orang adalah warga emas manakala 76 adalah Orang Kelainan Upaya (OKU).

Dalam perkembangan lain, Polis Selangor memaklumkan bahawa enam laluan masih ditutup setakat pagi ini.

Laluan berkenaan adalah Jambatan FT 31 Dengkil - Banting di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang); Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra (IPD Sungai Buloh) dan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang (IPD Kajang).

Selain itu, Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor) manakala IPD Petaling Jaya menutup dua laluan iaitu

Jambatan Jalan Menghala ke Lapang Sasar, Subang (Jambatan rosak akibat banjir) serta Jalan PJU 7 berhampiran MRT Mutiara Damansara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 12:24 PM