GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terjejas akibat banjir boleh mengemukakan permohonan penangguhan bayaran kepada PTPTN bermula Selasa depan hingga 31 Mac 2022.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerajaan bersetuju memberikan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan kepada peminjam yang terkesan.

"Ini berikutan bencana banjir yang melanda negara mengakibatkan kemusnahan harta benda kepada mereka yang terbabit termasuk peminjam PTPTN.

"Peminjam yang terkesan boleh kemukakan permohonan kepada PTPTN bermula 28 Disember hingga 31 Mac 2022.

"Butiran lanjut mengenai pelaksanaannya akan diumumkan PTPTN," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu selari dengan aspirasi kerajaan hari ini yang prihatin serta komited membantu Keluarga Malaysia dalam saat yang mencabar ketika ini.

"Diharapkan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN ini dapat meringankan beban peminjam yang terkesan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 1:57 PM