GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan ini diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 dan belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

"Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Jan hingga 31 Mac 2021.

"Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noraini berkata butiran berhubung pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN.

"Diharapkan pengumuman ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam PTPTN," katanya.

Sebelum ini, kerajaan menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac 2020 hingga 31 Dis 2020 kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 1:13 PM