Bot pancung yang dinaiki pendatang tanpa izin (PATI) karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Bot pancung yang dinaiki pendatang tanpa izin (PATI) karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Omar Ahmad


Kota Tinggi: Tiada penemuan mayat baki 16 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang hilang susulan bot pancung karam di Perairan Tanjung Balau di sini pada 15 Disember lalu, selepas empat hari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditutup.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, jumlah mangsa yang dijumpai kekal 34 iaitu 21 meninggal dunia dan 13 ditemui selamat.

Katanya, walaupun PHC ditutup, pencarian dan pemantauan di laut dan darat tetap dilakukan oleh petugas yang mengawal pesisir pantai serta rondaan aset di laut yang membuat operasi harian.

"Sehingga hari ini, belum ada lagi penemuan baru berhubung baki 16 mangsa yang hilang itu.

"Sekiranya ada pelaporan penemuan mayat, pihak kami akan sahkan dulu identiti mangsa sama ada berkait atau tidak dengan insiden berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 19 Disember lalu, PHC ditutup selepas mengambil kira tiada penemuan baharu dan peluang untuk menemui mangsa hidup amat tipis.

Ini kerana operasi tanpa sebarang petunjuk, didapati kurang berkesan dan efektif untuk diteruskan.

Namun hebahan berterusan kepada komuniti maritim seperti nelayan, perkapalan dan pengusaha feri dilakukan, untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini.

Pada 15 Disember lalu, sebuah bot pancung yang membawa kira-kira 50 Pati terbalik di Perairan Tanjung Balau, menyebabkan 21 mangsa ditemui lemas terdampar di pesisiran pantai di sini.

Manakala 13 ditemui selamat dan baki 16 masih lagi hilang sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 2:23 PM