DUA mayat Pati ditemukan jam 10 pagi tadi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
DUA mayat Pati ditemukan jam 10 pagi tadi. FOTO ihsan Maritim Malaysia
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Dua lagi mayat pendatang asing tanpa izin (Pati) yang hilang dalam insiden bot pancung karam di Perairan Tanjung Balau, di sini, ditemukan berhampiran lokasi kejadian jam 10 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, kedua-dua mayat yang ditemukan adalah lelaki.

Katanya, mayat pertama ditemukan pada jarak 100 meter, manakala mayat kedua pada jarak 280 meter dari Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC).

"Ia menjadikan penemuan mayat pada hari kedua Op Carilamat ialah tujuh mayat. Semua mayat akan dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

"Lima mayat iaitu tiga lelaki dan dua wanita ditemukan awal pagi tadi.

"Penemuan ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa seramai 32 orang iaitu 14 mangsa selamat dan 18 mangsa maut.

"Pencarian masih diteruskan untuk mengesan lagi baki 18 mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 11:10 AM