Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Pernah ditipu sehingga kerugian RM80,454 pada Jun 2020, seorang wanita sekali lagi menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud, sehingga kerugian RM226,314.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa, seorang peniaga berusia 52 tahun dari Bahau seperti tidak serik dengan kejadian pertama dengan laporan polis pada Jun 2020.

Katanya, mangsa pada awalnya mencari maklumat berkaitan pinjaman wang di Facebook berikutan mengalami masalah kewangan.

"Pada kejadian pertama itu, mangsa mendakwa menjumpai satu iklan sebelum mengisi butiran peribadi dan jumlah yang mahu dipinjamnya iaitu RM250,000 sebelum mangsa dihubungi suspek yang menawarkan pinjaman berkenaan.

"Mangsa membuat pembayaran berjumlah RM80,454 sebagai bayaran bagi meluluskan pinjaman, namun ditipu selepas tidak mendapat pinjaman yang dimohon," katanya dalam satu kenyataan.

Hoo berkata, selepas sebulan iaitu pada Julai 2020, mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi suspek yang sama dan memaklumkan dia perlu membatalkan pinjaman.

Ia jika mangsa tidak mahu meneruskan pinjaman yang dibuat sebelum ini.

Katanya, mangsa diminta membuat bayaran bagi proses pembatalan dan mangsa dimaklumkan akan mendapat semula wangnya sebaik selesai proses pendaftaran.

Jelasnya, mangsa melakukan transaksi lebih 50 kali bermula dari bulan Ogos 2020 sehingga Disember 2021 dengan jumlah RM226,314.

Hoo berkata suspek turut menghubungi mangsa bagi membuat pembayaran terakhir berjumlah RM4,500 selain meyakinkan mangsa, akan memulangkan duitnya dalam tempoh seminggu.

Namun, wanita itu tidak melayan permintaan berkenaan.

"Mangsa yang tertipu membuat laporan polis di Balai Polis Bahau, minggu lalu, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 8:54 AM