PROF Dr Roziah Mohd Janor
PROF Dr Roziah Mohd Janor
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) mengumumkan cuti bencana mulai esok sehingga 25 Disember ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Dr Roziah Mohd Janor berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Majlis Eksekutif Universiti susulan banjir luar biasa yang melanda negara ketika ini.

"UiTM amat mengambil berat dan prihatin terhadap situasi yang dihadapi oleh pelajar dan kakitangan sokongan dan akademik).

"Jadi, melalui perbincangan bersama Majlis Eksekutif Universiti, UiTM mengumumkan cuti bencana mulai esok.

"Semua kuliah dibatalkan mulai esok hingga Sabtu sebagai inisiatif bagi meringankan dan membantu mereka yang terkesan.

"Sepanjang tempoh ini, tiada sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran dan penghantaran tugasan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, cuti bencana ini akan dilanjutkan dengan cuti khas perayaan pada 25 Disember hingga 2 Januari 2022 seperti yang ditetapkan dalam kalendar akademik sesi I 2021/2022.

Katanya, pensyarah boleh menggunakan minggu ulang kaji (31 Januari hingga 5 Februari 2022) bagi tujuan penggantian kuliah.

"Bagi Pemilihan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang akan dilaksanakan pada 21 dan 22 Disember ini diteruskan secara dalam talian.

"Seluruh warga UiTM mendoakan agar semua pensyarah, pelajar dan warga universiti seluruhnya yang terbabit dengan bencana banjir ini dipermudahkan segala urusan, diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian serta dilindungi daripada sebarang musibah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 9:24 PM