KAMPUS UniSZA. FOTO Arkib NSTP
KAMPUS UniSZA. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengumumkan cuti bencana selama lapan hari bermula 19 Disember lalu susulan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Naib Canselor UniSZA (Yang Menjalankan Fungsi) Prof Dr Fadzli Adam berkata, kejadian banjir yang melanda beberapa tempat dalam negara ketika ini menyebabkan aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) untuk pelajar bagi Semester I sesi 2021/2022 terjejas.

Justeru, atas dasar kecaknaan dan keprihatinan terhadap kebajikan pelajar, UniSZA mengumumkan cuti bencana iaitu semua kuliah membabitkan pelajar prasiswazah dan pascasiswazah (mod kerja kursus dan campuran) ditangguhkan bermula 19 hingga 26 Disember depan.

"Sepanjang tempoh ini, tiada sebarang aktiviti kuliah, pentaksiran dan penghantaran tugasan dilaksanakan.

"Bagaimanapun, bagi Fakulti Perubatan, hanya pelajar Tahun 1 sahaja yang terbabit dengan pelaksanaan cuti umum ini, manakala semua pelajar Fakulti Perubatan yang lain perlu mengikuti PdP seperti biasa.

"Pengurusan dan seluruh warga UniSZA mendoakan agar semua pelajar yang terbabit dengan bencana banjir ini dipermudahkan urusan, dikurniakan kesabaran dan dilindungi daripada perkara yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pelajar UniSZA yang terkesan dengan banjir dan memerlukan bantuan boleh menghubungi Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) di talian 09-6687945 (Norsuhaila) dan 09-6687811 (Siti Aminah) atau menghubungi pihak fakulti masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 8:42 AM