SEBAHAGIAN penduduk menaiki bot keluar masuk apabila rumah mereka di naiki air banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN penduduk menaiki bot keluar masuk apabila rumah mereka di naiki air banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk Kampung Tersang, di sini, yang terjejas akibat banjir diberi pilihan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi atau SK Sri Rantau Panjang (2).

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Negeri Kelantan, Nik Mohamed Noor Nik Ishak berkata, ia berikutan PPS yang terdekat iaitu di SK Gual To'Deh tidak mampu menampung mangsa banjir yang ada.

Katanya, walaupun jarak PPS yang disarankan agak jauh sekitar enam sehingga 10 kilometer (km), mereka boleh meminta bantuan urusetia banjir untuk urusan pemindahan.

"Kita menerima aduan daripada penduduk yang mendakwa mereka tidak diterima masuk ke PPS terbabit susulan jumlah mangsa yang dibenarkan sudah cukup.

"Jadi, bagi menyelesaikan masalah berkenaan, kita menyarankan mereka ke PPS lain yang berdekatan agar tidak timbul lagi isu tidak dibenarkan mendaftar kerana jumlah mangsa banjir yang ramai berbanding tahun sebelum ini.

"Saya melihat situasi semasa di Kampung Tersang di mana banjir hampir menenggelamkan keseluruhan kediaman sekali gus membahayakan keselamatan penduduk," katanya yang turut sama melawat penempatan terbabit bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail.

Nik Mohamed berkata, dia menasihati mangsa banjir agar segera meninggalkan rumah dan berpindah ke PPS bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

"Jangan bimbang akan keselamatan rumah kerana pihak bertanggungjawab seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemantauan berkala bagi memastikan tiada kes pecah rumah membabitkan mangsa banjir berlaku.

"Selain itu, orang ramai yang mengalami masalah berpindah boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 09-7917963 dan 09-7917717," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 5:18 PM