Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mendekati penduduk sambil menasihatkan mereka supaya berpindah awal jika banjir memberi impak positif apabila 90 peratus daripada mangsa berbuat demikian.

Pengarah JBPM Kelantan, Jainal @ Zainal Madasin, berkata pegawai dan anggota mendekati penduduk sebaik tiba musim Monsun Timur Laut (MTL) bertujuan untuk memberi nasihat secara bersemuka.

Katanya, inisiatif itu nampaknya membuahkan hasil apabila majoriti penduduk penempatan rendah yang dilanda banjir berpindah awal ke pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

"Sebelum ini, kita berhadapan dengan masalah mangsa yang tidak mahu berpindah sekali gus meningkatkan risiko keselamatan memandangkan pelbagai insiden boleh berlaku sepanjang musim banjir.

"Selain dapat mendekatkan hubungan dengan komuniti setempat, langkah bertemu mata dengan masyarakat juga membolehkan anggota mengumpul maklumat terperinci di setiap kawasan.

"Secara tidak langsung, anggota lebih mengetahui perkembangan di sesuatu lokasi dan mempermudahkan mereka untuk memberi bantuan jika berlaku sebarang insiden," katanya ketika ditemui selepas melawat beberapa penempatan rendah yang dilanda banjir di Rantau Panjang, hari ini.

Beberapa kawasan kini dilanda banjir seperti Kampung Putat Tujuh, Kampung Tasek Bakong, Kampung Gual To'Deh, Kampung Tersang dan Kampung Padang Licin, di sini.

Zainal berkata, dia sendiri meluangkan masa untuk turun padang membantu misi memindahkan mangsa banjir ke PPS sebelum ini.

"Saya gembira melihat perubahan positif mangsa yang tidak lagi perlu dipujuk, sebaliknya dengan rela mahu berpindah selepas diajak anggota bomba. Mereka juga mengakui senang dengan keperibadian anggota yang mesra dengan masyarakat setempat.

"Hal ini membuktikan, usaha bomba untuk mendekati masyarakat juga memainkan peranan penting untuk memujuk mangsa banjir supaya segera berpindah jika keadaan dilihat semakin membahayakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 7:01 PM
JAINAL @ Zainal Madasin (tengah) melakukan tinjauan di rumah yang digenangi banjir bagi memastikan keselamatan penghuni di Kampung Padang Licin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
JAINAL @ Zainal Madasin (tengah) melakukan tinjauan di rumah yang digenangi banjir bagi memastikan keselamatan penghuni di Kampung Padang Licin. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR