Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menyampaikan sumbangan banjir fasa satu berjumlah RM46,800 kepada 36 keluarga yang terkesan di Kampung Tersang di sini, hari ini.

Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz bertitah, sumbangan itu membabitkan wang RM1,000 dan barangan keperluan asas bernilai RM300 yang disampaikan kepada setiap ketua isi rumah.

Titah baginda, bantuan itu akan diagihkan kepada penempatan lain yang turut terjejas banjir mengikut fasa seterusnya melalui ketua jajahan.

"Segala bantuan akan disampaikan kepada mangsa banjir melalui ketua jajahan dengan bantuan penggawa, penghulu dan imam yang bertanggungjawab mengenal pasti penerima yang layak mendapatkannya.

"Maik menyediakan sumbangan kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda.

"Bantuan ini menjadi fokus Maik untuk membantu masyarakat yang diuji kesusahan agar dapat kembali menjalani hidup seperti biasa," titah baginda selepas mencemar duli melawat kediaman mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan di Kampung Tersang.

PUAN Sri Datuk Noor Hayati (kanan) hadir meninjau di kawasan banjir selepas menyampaikan sumbangan banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PUAN Sri Datuk Noor Hayati (kanan) hadir meninjau di kawasan banjir selepas menyampaikan sumbangan banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Turut mencemar duli Tengku Puan Temenggong, Tunku Puan Sri Datuk Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Datuk Mumtaz Md Nawi.

Sementara itu, Mumtaz berkata, kerajaan negeri turut menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir terutama yang berdaftar atau berpindah di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Menurutnya, bagi mangsa yang terperangkap banjir, mereka turut menerima bantuan keperluan asas melalui agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 1:55 PM