ANTARA penerima sumbangan makanan kucing. FOTO Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM)
ANTARA penerima sumbangan makanan kucing. FOTO Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM)
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Nasib haiwan peliharaan terbela apabila Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menyumbang lebih 200 beg makanan kucing di kawasan Gombak Utara, dekat sini, baru-baru ini.

Presidennya R Kalaivanan berkata, pihaknya memahami situasi orang kurang berkemampuan sukar membeli makanan untuk haiwan peliharaan di saat pandemik Covid-19 melanda negara ketika ini.

"Kos makanan haiwan boleh dikatakan cukup tinggi dan boleh mencecah RM100 hingga RM150 sebulan menyebabkan kesukaran untuk menjaga haiwan peliharaan.

"Bagi mengelakkan pembuangan haiwan peliharaan, kami mengambil inisiatif memberikan sumbangan makanan kucing kepada golongan B40 dan orang kurang berkemampuan di Gombak Utara.

"Menerusi Program Memberi Makanan Haiwan, seramai 100 orang mendapat bantuan pada fasa pertama, Jun lalu manakala bagi fasa kedua, 150 orang memperoleh bantuan sama pada Jumaat lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mereka memperuntukkan kira-kira RM30 bagi satu beg yang mengandungi 1.2 kilogram makanan kering serta pek makanan basah.

Katanya, mereka menjalankan program ini dengan menempatkan sumbangan di Pusat Logistik Jawatankuasa Penduduk Zon 1 dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Gombak Utara sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

Kalaivanan berkata, melihat kepada sambutan yang baik di kawasan Gombak Utara, pihaknya bercadang untuk menjalankan program seumpama di kawasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 2:42 PM