MOHD Khairul Anwar Abdul Aziz
MOHD Khairul Anwar Abdul Aziz
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Perjalanan yang mengambil masa lebih lapan jam untuk ke kampung halaman kali ini menjadi kenangan manis bagi seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) apabila dapat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 (PRN-12).

Bagi Mohd Khairul Anwar Abdul Aziz, 21, dia berdaftar sebagai pengundi pada Mei lalu sebelum mengetahui statusnya sebagai pengundi pada Ogos lalu.

Mohd Khairul yang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Pantai Timur berkata, dia menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, pagi semalam.

Katanya, dia seterusnya menggunakan laluan darat dari Kuching untuk pulang ke kampung halaman di Kampung Gelam, Song, Kapit yang mengambil masa kira-kira lapan jam perjalanan.

"Perjalanan kali ini lebih singkat dibandingkan sebelum ini yang mengambil masa kira-kira 10 jam bermula dari Kuching ke Sibu selama lapan jam dan menaiki bot selama dua jam untuk sampai ke kampung.

"Pembinaan jalan raya baharu membolehkan perjalanan saya lebih singkat menggunakan laluan darat tanpa perlu menaiki bot dari Sibu ke Song.

"Ia pastinya memberi kenangan manis untuk saya kerana menempuh perjalanan ini ketika pertama kali mengundi," katanya.

Dia yang mengundi di Dewan Kampung Gelam, Song bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Katibas berkata, ramai orang di kawasan terbabit dilihat keluar mengundi.

"Saya tiba di pusat mengundi kira-kira 10 pagi tadi dan saya lihat ada ramai orang keluar mengundi di pusat pengundian berkenaan.

"Saya rasa berbangga kerana dapat pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi selain merasa gembira kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga ketika cuti semester ini," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penuntut IPT di sini, Mohammad Nor Esmail Eskandar Munjiry berkata, dia teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat pertama kalinya di Dun Satok.

Katanya, dia membuat pendaftaran sebagai pengundi pada 26 September lalu iaitu pada hari lahirnya selepas genap berusia 21 tahun.

"Saya sudah lama mahu mengundi dan apabila umur genap 21 tahun, saya terus membuat pendaftaran sebagai pemilih kerana tidak sabar untuk menjadi pengundi.

"Ternyata keputusan itu tepat apabila saya berpeluang untuk membuang undi pada PRN-12 yang berlangsung pada tahun sama saya mendaftar (sebagai pengundi)," katanya.

Sebagai golongan muda, Mohammad Nor Esmail berkata, menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi adalah penting bagi menentu masa depan negeri ini.

"Apabila diberi peluang sebagai pengundi, pastinya saya mahu mengambil kesempatan ini untuk menyokong proses demokrasi dengan memilih pemimpin negeri.

"Proses pemilihan ini penting bagi masa depan negeri ini termasuk dalam aspek pembangunan anak muda termasuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 5:54 PM