Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Kehadiran anggota polis wanita membawa bayinya ke pusat mengundi awal di Mes Pegawai di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini, mencuri tumpuan media.

Anggota yang bertugas di IPK Sarawak itu, Lynne Ginju Law, 35, berkata, dia terpaksa membawa bersama bayi perempuannya, Fatimah Sophiah Kamafarkhan berusia setahun kerana tiada pengasuh.

"Hari ini, pengasuh bayi saya bercuti dan saya terpaksa membawanya bersama ke pusat mengundi.

"Saya teruja untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok hari ini meskipun terpaksa membawa bersama anak kecil kerana ia (mengundi) adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, proses mengundi awal di seluruh negeri berjalan lancar sehingga jam 10 pagi tadi.

"Berdasarkan pemerhatian dilakukan di pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di Batu Kawa dan di IPK ini, saya mendapati proses berjalan lancar.

"Malah, semua pengundi yang hadir didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan menjaga penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka," katanya ketika ditemui di Mes Pegawai IPK Sarawak di sini, hari ini.

Mancha berkata, setiap pusat mengundi awal dilakukan sanitasi setiap dua jam oleh petugas kesihatan

"Bagi mana-mana pengundi yang tidak sihat atau mempunyai gejala diminta untuk ke khemah yang disediakan bagi proses pengundian.

"Khemah berkenaan menempatkan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalankan proses undi awal bagi individu bergejala," katanya yang mengundi di Ibu Pejabat PGA Batu Kawa.

Terdapat beberapa calon yang bertanding di DUN Satok dan DUN Tupong turut dilihat berada di pusat mengundi awal di IPK Sarawak.

Antara calon yang hadir adalah calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Fazzrudin Abdul Rahman dan calon PKR Ahmad Nazib Johari yang bertanding di DUN Tupong.

Selain itu, dua calon yang bertanding di DUN Satok iaitu Datuk Ibrahim Baki (GPS) serta Datuk Dr Nor Irwan Ahmat Nor (PKR) turut hadir di pusat mengundi awal berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh yang tiba jam 9.50 pagi tadi turut meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk melawat pusat mengundi awal di Mes Pegawai IPK Sarawak.

Jurucakap SPR memaklumkan sebanyak 35 peratus pengundi keluar mengundi awal setakat jam 10 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 11:41 AM
Lynne Ginju Law 35, bersama anak nya Fatimah Sopiah Kamal Farhan, 1 tahun membuang undi awal di saluran undi awal bagi N6 Tupong, N7 Semariang dan N8 Satok di Ibu Pejabat Polis Jalan Badruddin Kuching. FOTO NADIM BOKHARI
Lynne Ginju Law 35, bersama anak nya Fatimah Sopiah Kamal Farhan, 1 tahun membuang undi awal di saluran undi awal bagi N6 Tupong, N7 Semariang dan N8 Satok di Ibu Pejabat Polis Jalan Badruddin Kuching. FOTO NADIM BOKHARI