PENGUNDI bagi PRN Sarawak boleh membuat semakan di aplikasi MySPR Semak. FOTO Arkib NSTP
PENGUNDI bagi PRN Sarawak boleh membuat semakan di aplikasi MySPR Semak. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim

Kuching: Seramai 1,213,769 pengundi biasa bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) disaran membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi Sabtu ini.

Ia bagi mengetahui maklumat berkaitan pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan pemilih.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ketika semakan dibuat, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat berkenaan.

"Semakan boleh dibuat menerusi saluran portal semakan daftar pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my, Aplikasi MySPR Semak atau Hotline SPR di talian 03-8892 7018.

"Bagi pengundi yang sudah mengetahui maklumat pengundian, disaran terus ke saluran mengundi ditetapkan," katanya pada kenyataan hari ini.

Ikmalrudin berkata, SPR melalui aplikasi MySPR Semak turut meletakkan maklumat masa keluar mengundi digalakkan untuk setiap pengundi.

Katanya, pengundi dinasihati supaya keluar mengundi mengikut masa yang dicadangkan.

"Jika pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa daripada jam 7.30 pagi hingga jam 5 petang atau waktu yang diwartakan di pusat mengundi masing-masing.

"Bagaimanapun, pengundi dinasihati untuk tidak keluar mengundi pada saat akhir dan sentiasa mematuhi semua undang-undang, peraturan serta garis panduan khas pencegahan Covid-19 pada hari mengundi kelak," katanya.

Beliau turut mengingatkan pengundi supaya membawa kad pengenalan, catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

"Catatan maklumat pengundian akan memudahkan KP1 membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

"Pengundi juga dinasihati tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain, selain petugas pilihan raya. SPR menyeru semua pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 12:14 PM