Mohd Roji Kawi


Sibu: Hujan lebat sejak awal pagi hampir merentap semangat pengundi di kawasan tebing Sungai Batang Igan untuk menunaikan tanggungjawab mengundi kerana mereka terpaksa menaiki perahu untuk ke pusat pengundian.

Namun, kerisauan mereka terlerai apabila cuaca kembali pulih kira-kira 9 pagi sekali gus membolehkan mereka menaiki bot meredah arus deras untuk mengundi.

Bagi warga emas, Rasiah Ijon, 82, peluang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) tidak akan dilepaskannya meskipun pada awalnya dia bimbang dengan keadaan cuaca.

"Kami perlu menaiki perahu dari Kampung Bungan Kecil untuk ke pusat pengundian dan itulah yang menyukarkan kami jika hujan berterusan.

"Selepas hujan reda, kami terus pergi pusat mengundi kerana tidak mahu terlepas peluang mengundi kali ini," katanya ketika ditemui di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bungan, di sini.

Seorang lagi warga emas, Kining Angep, 73, pula lega kerana masih berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Saya tidak pernah terlepas tunaikan pada setiap pilihan raya dan selepas mengundi hari ini, tentulah rasa lega kerana sudah menunaikan tanggungjawab," katanya sambil menunjukkan kesan dakwat kekal di jarinya.

Sementara itu, seorang penghuni rumah panjang berdekatan, Jeranti Sandai pula berkata, dia sanggup balik ke kampung semata-mata untuk mengundi hari ini.

Setibanya di kediaman keluarganya di Rumah Panjang George, dia yang bermastautin di Sibu kemudian menaiki perahu untuk ke pusat pengundian.

Perahu masih menjadi pengangkutan utama penduduk yang tinggal di tebing Sungai Igan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bawang Assan.

Pada PRN-12, Dun Bawang Assan yang mempunyai 19,650 pengundi menyaksikan saingan lima penjuru membabitkan penyandang Datuk Seri Wong Soon Koh yang mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Beliau dicabar calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Robert Lau Hui Yew; calon DAP, Amy Lau Bik Yin; calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Michelle Ling Shyan Mih dan calon Bebas, Ricky Enteri.

Dua warga emas, Rasiah Ijon, 82 dan Kining Angep, 73, menunjukkan jari tanda sudah menunaikan tanggubgjawab sebagai pengundi. FOTO MOHD ROJI KAWI
Dua warga emas, Rasiah Ijon, 82 dan Kining Angep, 73, menunjukkan jari tanda sudah menunaikan tanggubgjawab sebagai pengundi. FOTO MOHD ROJI KAWI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 6:02 PM