Aizat Sharif


Kangar: Mangsa kedua yang terakhir hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Perlis, di sini, akibat kemalangan bot Khamis lalu berjaya ditemukan.

Mayat Abdul Rashid Md Derus, 45, ditemukan terapung sekitar tebing Sungai Perlis berhampiran Denai Larian Pangkalan Asam, pada 3.27 petang.

Mayat mangsa ditemukan sekitar lima kilometer dari lokasi kemalangan bot dan mayat dipercayai hanyut ke kawasan berkenaan disebabkan air pasang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis Ruhisha Haris berkata, sebaik menerima maklumat penemuan itu, 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Perlis termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dikerah tempat kejadian.

MAYAT Abdul Rashid ditemukan di tebing Denai Larian Pangkalan Asam. FOTO Ihsan JBPM
MAYAT Abdul Rashid ditemukan di tebing Denai Larian Pangkalan Asam. FOTO Ihsan JBPM

"Kami hanya mengambil masa sekejap sahaja untuk membawa mangsa ke kawasan Denai Larian berkenaan," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, mangsa kemudian disahkan sebagai Abdul Rashid Md Derus yang hilang dalam kemalangan tempoh hari.

Mayat diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:15 PM