NGAH memeriksa perangkap yang dipasang oleh anggota Perhilitan untuk menangkap harimau kumbang. FOTO Ghazali Kori.
NGAH memeriksa perangkap yang dipasang oleh anggota Perhilitan untuk menangkap harimau kumbang. FOTO Ghazali Kori.
Rosli Ilham


Marang: Penduduk Kampung Bukit Kor, di sini, diminta berwaspada dan tidak mendekati kawasan yang menjadi tumpuan laluan harimau kumbang.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, penduduk diminta tidak mendekati atau mengusik sekiranya terserempak dengan harimau terbabit.

Menurutnya, sebuah perangkap sudah dipasang pihaknya dengan mengumpan seekor kambing dan setakat ini perangkap itu belum mengena.

"Setakat hari ini, tiada kes baharu yang dilaporkan berhubung ternakan penduduk dibaham harimau terbabit.

"Kami sangat berharap harimau itu dapat ditangkap segera sekali gus melegakan penduduk kampung," katanya.

Loo berkata, biasanya binatang buas ini akan melarikan diri apabila terserempak dengan manusia, namun pihaknya bimbang haiwan itu akan bertindak sebaliknya sekiranya diganggu.

"Kita meminta penduduk yang menemui harimau itu segera menghubungi kami supaya tindakan cepat dapat diambil, "katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan seorang penternak kerugian RM14,000 apabila tujuh kambing baka jenis Jamnapari, Kalahari dan Boer mati dibaham harimau kumbang pada 2, 8 dan 10 Disember lalu.

Harimau terbabit dikatakan cerdik dengan tidak masuk mahu masuk ke dalam perangkap yang dipasang Perhilitan biarpun diumpan seekor kambing di dalam perangkap itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:32 PM