Zaid Salim

Marang: Penduduk Kampung Bukit Kor di sini, mengambil pendekatan berkurung dalam rumah kerana bimbang menjadi mangsa serangan harimau kumbang yang menceroboh kampung berkenaan sejak awal bulan ini.

Penduduk, Noor Suryani Abdul Ghani, 39, berkata kehadiran binatang buas itu menggemparkan penduduk kampung yang pertama kali berdepan dengan situasi itu.

Katanya, berikutan itu dia mengambil pendekatan untuk berkurung kerana bimbang menjadi mangsa binatang buas itu.

"Sebaik senja, sekitar jam 7 malam, saya akan mengarahkan semua anak masuk ke dalam rumah dan tidak membenarkan mereka keluar malam walaupun di pekarangan kediaman.

"Anak-anak sudah biasa main di pekarangan pada waktu petang tetapi apabila berlaku kes serangan harimau kumbang ini, saya jadi takut kerana kedudukan rumah kami yang berdekatan hutan.

"Selagi harimau itu tidak masuk perangkap, selagi itulah kami berasa tidak selamat untuk berada di luar rumah terutama pada waktu malam." katanya ketika ditemui Harian Metro selepas meninjau perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu di kawasan kandang kambing yang menjadi mangsa binatang buas itu di sini, hari ini.

NGAH Abdul Ghani memeriksa perangkap yang dipasang Perhilitan untuk menangkap harimau kumbang selepas membaham tujuh ekor kambingnya  sejak 2 Disember lalu ketika ditemui di Kampung Bukit Kor. FOTO Ghazali Kori
NGAH Abdul Ghani memeriksa perangkap yang dipasang Perhilitan untuk menangkap harimau kumbang selepas membaham tujuh ekor kambingnya sejak 2 Disember lalu ketika ditemui di Kampung Bukit Kor. FOTO Ghazali Kori

Awal bulan ini, penternak kambing, Ngah Abdul Ghani, 53,kerugian RM14,000 apabila tujuh daripada 14 haiwan ternakannya menjadi mangsa serangan binatang berkenaan.

Semua haiwan daripada baka Jamnapari, Kalahari dan Boer itu mati dalam tiga serangan berasingan bermula 2 hingga 10 Disember lalu.

Menurut Ngah, dia baru berjinak dengan penternakan haiwan ini sejak Februari lalu kerana mahu mengisi masa lapang yang terluang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Katanya, dia tidak menyangka percubaan pertama saya menceburi bidang ternakan itu diuji dengan kejadian berkenaan, namun dia tidak serik dan kecewa kerana beranggapan itu adalah ujian Allah.

Menurutnya, sebelum ini, kampung berkenaan tidak pernah dikejutkan dengan kehadiran binatang buas itu, menyebabkan dia bagaikan tidak percaya, haiwan terbabit di baham harimau.

Katanya, jerat yang dipasang Perhilitan belum membuahkan hasil menyebabkan bukan hanya dia malah, penduduk kampung bimbang dengan keadaan itu.

Menurut Ngah, berdasarkan pemantauan dilakukan di sekitar kawasan berkenaan, pagi ini mendapati ada kesan tapak kaki haiwan berkenaan namun tidak memasuki perangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 5:56 PM