Rosli Ilham


Chukai: Seekor harimau kumbang yang menjadi kebimbangan kepada 300 keluarga di Perumahan Rantau Bukit, Kerteh, berjaya ditangkap hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, harimau kumbang betina itu ditangkap jam 5.30 pagi.

Menurutnya, pihaknya memasang perangkap pada Isnin lalu dengan menjadikan seekor ayam sebagai umpan.

"Harimau seberat kira-kira 40 kilogram dianggarkan berusia enam hingga tujuh tahun itu akan dihantar ke habitat asalnya di negeri ini juga.

"Kita akan lepaskan harimau ini jauh dari penempatan manusia bagi memastikan ia tidak mengganggu lagi penduduk," katanya.

Kelibat harimau kumbang itu yang dipercayai datang dari hutan simpan berhampiran menyebabkan penduduk perumahan tidak berani keluar rumah.

Penduduk, Nor Azlinda Saadon, 36, berkata, kemunculan harimau kumbang yang berkeliaran di situ menyebabkan penduduk ketakutan.

"Penduduk taman sangat takut untuk keluar rumah terutamanya pada waktu malam dan kami juga tidak berani melepaskan kucing peliharaan takut dibaham harimau itu.

"Hari ini saya sangat gembira selepas harimau itu berjaya ditangkap dan berharap harimau itu dilepaskan jauh dari penempatan penduduk," katanya

Sementara itu, pengawal keselamatan taman perumahan itu, Mohd Yazid Yusri, 26, berkata, dia bersyukur selepas harimau itu ditangkap.

"Sebelum ini saya dan rakan setugas yang meronda sangat takut selepas menyedari kehadiran harimau ini.

"Kini penduduk tidak perlu berasa bimbang untuk melakukan aktiviti harian seperti sediakala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 2:18 PM