JKM mengesan ibu kandung Anna yang ditinggalkan di HSA. FOTO ihsan JKM
JKM mengesan ibu kandung Anna yang ditinggalkan di HSA. FOTO ihsan JKM
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seorang wanita bertindak meninggalkan bayi perempuan yang dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas memberi alasan tiada tempat tinggal tetap dan hanya menghuni di inap desa.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Anna dilahirkan pada 18 November lalu di HSA dan kini berusia 28 hari.

Beliau berkata, ibu kandung bayi berkenaan dikenali sebagai Tiew Yi Fen, 33, namun butiran bapa bayi terbabit tidak diperoleh.

Menurutnya, wanita warga tempatan berkenaan sebelumnya gagal memberi gambaran jelas berkaitan penempatannya.

Katanya, wanita berkenaan menyatakan dia tidak memiliki tempat tinggal tetap dan hanya menghuni di sebuah inap desa di bandar raya ini.

"Dia meninggalkan bayinya di hospital dengan alasan tiada tempat tinggal tetap dan kali terakhir wanita berkenaan datang melawat bayinya di HSA adalah pada awal Disember lalu.

"Sehingga kini wanita berkenaan gagal mendaftarkan kelahiran menyebabkan bayi berkenaan dirujuk kepada JKM untuk penempatan sementara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata, bayi berkenaan dibenarkan keluar hospital pada 13 Disember dan ditempatkan di Yayasan Orphan Care cawangan Johor Bahru untuk penempatan sementara menerusi Subseksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, penempatan bayi itu adalah bersifat sementara bagi membolehkan pelindung kanak-kanak mengurus dokumen pengenalan diri dan mengesan ibu kandung bagi urusan penempatannya pada masa depan.

"JKM meminta bantuan ramai bagi mengesan ibu kandung bayi berkenaan dan menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606, 07-2232607 atau 01117535394," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 11:54 AM