JKM mengesan ibu kandung bayi mangsa pengabaian. FOTO Ihsan JKM
JKM mengesan ibu kandung bayi mangsa pengabaian. FOTO Ihsan JKM
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kepada bayi lelaki yang kini berusia 60 hari selepas ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Julai lalu.

Pegawai JKM Johor Bahru, Maghfurah Mohd Zahir berkata, ibu kandung bayi berkenaan dilaporkan enggan membawa pulang bayinya selepas melahirkan.

Menurutnya, malah wanita dikenali Yuggeshini Michael Vincent berusia 26 tahun itu juga meminta pengurusan hospital untuk menyerahkan bayi berkenaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, namun perbuatan ibu kandung bayi berkenaan menimbulkan masalah berikutan kelahirannya tidak didaftarkan selain proses discaj bayi berkenaan juga bertangguh.

"Bayi berkenaan dilahirkan pada 2 Julai lalu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) namun ibunya enggan memberi penjagaan kepadanya.

"Pengurusan hospital terpaksa merujuk bayi berkenaan yang dinamakan sebagai Damian itu kepada JKM untuk penempatan sementara," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut ya, bayi berkenaan akhirnya dibenarkan keluar dari hospital pada 15 Ogos lalu dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Johor di Johor Bahru di sini.

"Penempatan berkenaan adalah bersifat sementara bagi membolehkan JKM menguruskan perdaftaran kelahiran bayi berkenaan serta mengesan ibunya untuk membincangkan soal perlindungan," katanya.

Maghfurah berkata, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan ibu kandung bayi berkenaan diminta menghubungi pegawai Pelindung JKM, Kasmah Anuar di talian 07-2232606/07.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 11:42 AM