FARELL menjadi mangsa pengabaian ibu kandung. FOTO ihsan JKM
FARELL menjadi mangsa pengabaian ibu kandung. FOTO ihsan JKM
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Akibat perbuatannya menggunakan pasport palsu terbongkar, seorang wanita warga Indonesia menghilangkan diri sekali gus meninggalkan bayi lelakinya berusia kira-kira 40 hari di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, bayi berkenaan dimasukkan ke hospital berkenaan akibat muntah berlarutan pada 16 Februari lalu ketika berusia 12 hari.

Menurutnya, difahamkan bayi berkenaan dilahirkan pada 5 Februari namun ibu kandungnya gagal mendaftar kelahirannya sehingga dia dibawa ke HSA.

"Pada 14 Mac lalu, rujukan bersurat dilakukan kepada konsulat Indonesia dan mendapati nombor pasport digunakan wanita berkenaan adalah palsu dan milik individu lain.

"Sejak helahnya terbongkar, wanita berusia 30-an berkenaan bertindak menghilangkan diri bagi mengelak tindakan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan media.

Adnan berkata, ketua jururawat turut membuat laporan polis memaklumkan wanita berkenaan gagal menuntut bayinya.

Beliau berkata, bayi berkenaan dibenarkan keluar hospital pada 25 Mac lalu dan ditempatkan di Rumah Perlindungan JKM Johor mengikut subseksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

"Bayi berkenaan kini dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

"Bayi berkenaan dalam keadaan sihat dan usaha mengesan ibu kandungnya masih dijalankan oleh JKM," katanya.

Adnan berkata, JKM meminta bantuan orang ramai yang mengenali waris bayi berkenaan menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Zaid Ikhwan Lim di talian 07-2232606 atau 07-2232607.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 April 2021 @ 2:11 PM