JKM mengesan bapa kandung bayi lelaki, Muhammad Adwa. Gambar ihsan JKM
JKM mengesan bapa kandung bayi lelaki, Muhammad Adwa. Gambar ihsan JKM
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesan bapa bayi mangsa pengabaian yang dipercayai bekerja atas kapal bagi membincangkan masa depan cahaya matanya berusia lima bulan.

Pegawai JKM Johor Bahru, Adnan Md Yassin berkata, ibu bayi lelaki berkenaan, Salmah Ab Rahman, 38, meninggal dunia selepas melahirkan bayi lelaki berkenaan.

Beliau berkata, kes berkenaan dirujuk ke jabatan berkenaan oleh pengurusan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Menurutnya, mengikut maklumat diperoleh, bayi berkenaan dilahirkan pada 13 Februari lalu.

Katanya, malangnya ibu bayi berkenaan meninggal dunia selepas melahirkannya berikutan komplikasi kesihatan.

"Pihaknya dimaklum bahawa bapa kandung bayi berkenaan bekerja di atas kapal namun tidak dapat dihubungi pihak hospital.

"Malah sehingga kini lelaki berkenaan Donny Bohong gagal tampil menuntut bayi berkenaan.

"Justeru, JKM memohon Mahkamah Kanak-Kanak mengeluarkan perintah jagaan sementara mengikut subseksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan menempatkan kanak-kanak di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai iaitu Sufiyan Misaddikan dan isteri, Siti Mudznalin Samsudin," katanya menerusi siaran media hari ini.

Adnan berkata, bayi berkenaan dinamakan sebagai Muhammad Adwa namun masih belum didaftarkan kelahirannya.

Menurutnya, pihaknya memohon bantuan orang ramai bagi mengesan bapa kandung atau waris terdekat bayi berkenaan bagi membincangkan masa depannya.

"Pasangan berkenaan memiliki lima cahaya mata termasuk bayi berkenaan.

"Bapa bayi berasal daripada Kampung Gusung, Semporna, Sabah manakala isterinya berasal dari Kampung Sinallang, Semporna.

"Bagi maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM, Intan Suria Ismail di talian 07-2232600 atau 01115250207," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 4:18 PM