Foto hiasan
Foto hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan proses untuk menangkap beberapa ekor harimau belang yang berkeliaran sekitar Pos Bihai di Gua Musang mengambil masa lebih sebulan.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohd Hafid Rohani berkata, sebarang tangkapan membabitkan hidupan liar termasuk harimau belang bukan semudah yang disangka.

Menurutnya, lebih-lebih lagi ia membabitkan kawasan yang luas dan cabaran utama kepada pihaknya dalam menjejaki harimau berkenaan adalah jarak satu lokasi ke lokasi lain sangat jauh dan mengambil masa sehingga tiga jam perjalanan.

"Antara lain yang menyukarkan kami adalah keadaan jalan yang agak teruk selain ada lokasi anggota terpaksa parkir kenderaan dan perlu berjalan jauh untuk menjejaki binatang berkenaan.

"Sejak menerima aduan pada 10 Disember lalu, kami tidak menerima laporan semata-mata sebaliknya pelbagai pendekatan sudah dilakukan untuk menjejaki binatang berkenaan.

"Seramai 15 kakitangan Perhilitan termasuk dari ibu pejabat yang kini berkampung di perkampungan Orang Asli dan setakat ini tiga perangkap dipasang," katanya ketika ditemui di pejabatnya.

Mohd Hafid berkata, berdasarkan pengalaman tangkapan seekor harimau di Terengganu sebelum ini juga mengambil masa lebih sebulan selepas puluhan perangkap dipasang.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Kampung Sau dekat Pos Bihai, Jumaat lalu.

Anek Along dikatakan sedang menumbuk padi huma bersama anak perempuannya di belakang rumah ketika haiwan itu muncul pada 9.10 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 4:33 PM