LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan masih giat memburu dua harimau belang yang berkeliaran di Kampung Remau, Pos Bihai Jumaat lalu sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Orang Asli.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, pada hari ini sudah memasuki hari keenam Perhilitan menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi berkenaan dengan menempatkan lapan anggota secara penggiliran tugas.

"Setakat ini, dua unit perangkap berkamera sudah dipasang di lokasi yang mana harimau ini dijejaki selain turut menggunakan kambing hidup sebagai umpan supaya memasuki perangkap yang dipasang, namun ia belum berhasil.

"Berdasarkan pemerhatian, kami mendapati kedua-dua harimau belang ini tidak menimbulkan 'kacau ganggu' atau konflik dengan manusia sebagaimana yang pernah berlaku kepada Awang Besul, iaitu harimau belang yang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada 19 Julai 2019.

"Bagaimanapun, kami tidak dapat memastikan lagi perkara ini dengan tepat sebelum kedua-dua haiwan ini dapat ditangkap kerana khuatir ia akan mengancam keselamatan penduduk di kawasan sekitar," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, seramai 17 keluarga Orang Asli dari Kampung Remau, Pos Bihai terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing susulan ternampak kelibat harimau belang dewasa di sekitar kebun dan kawasan kediaman mereka sejak Jumaat lalu.

Rata-rata penduduk bertindak untuk berpindah ke Kampung Tendrik, Pos Bihai setelah menyedari kehadiran haiwan liar itu yang didapati berkeliaran di sekitar kawasan penempatan mereka.

Terdapat beberapa penduduk memilih berpindah ke dewan, rumah saudara atau rakan buat sementara waktu kerana bimbang sekiranya diserang haiwan liar berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad Hafid turut menyeru orang ramai supaya berhenti menularkan beberapa rakaman video yang menunjukkan kedua-dua harimau belang berkenaan sedang berkeliaran yang dipercayai berada di Kampung Remau, Pos Bihai.

"Saya khuatir sekiranya pemburu haram mengambil kesempatan dan menjalankan aktiviti pemburuan haram untuk menjejaki kedua-dua harimau ini berdasarkan 'landmark' yang terdapat dalam video yang tular itu.

"Dalam masa sama ia juga akan mengganggu operasi tangkapan yang sedang dilakukan oleh Perhilitan dan berharap agar perangkap yang dipasang akan membuahkan hasil dalam masa segera bagi menghilangkan kegelisahan dalam kalangan penduduk kampung," katanya.

Beliau berkata, buat sementara waktu ini penduduk kampung sekitar dinasihatkan supaya menghentikan dahulu aktiviti memasuki kawasan hutan bagi mengelak risiko mereka diserang haiwan itu.

"Jika terserempak jangan cuba bertindak berani dengan mendekatinya kerana bimbang akan diserang haiwan itu yang merasakan dirinya terancam.

"Saya juga menasihati penduduk kampung supaya bertenang dan bersabar kerana pihak Perhilitan sedang berusaha menangkap kedua-dua harimau ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Disember 2021 @ 6:01 PM