Datuk Abdul Majid Mohd Ali (kiri) menyampaikan poster pencegahan jenayah kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Senator Datuk Lim Ban Hong (kanan) sempena Program High Profile Policing kempen kesedaran kes-kes penipuan di kalangan komuniti dan Pelantikan Duta Kepolisan Masyarakat peringkat Polis Kontinjen Melaka hari ini. FOTO BERNAMA
Datuk Abdul Majid Mohd Ali (kiri) menyampaikan poster pencegahan jenayah kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Senator Datuk Lim Ban Hong (kanan) sempena Program High Profile Policing kempen kesedaran kes-kes penipuan di kalangan komuniti dan Pelantikan Duta Kepolisan Masyarakat peringkat Polis Kontinjen Melaka hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Bukan sedikit jumlahnya apabila wang sebanyak RM17.98 juta milik orang ramai 'lebur' akibat ditipu sindiket dalam talian.

Ia membabitkan indeks jenayah dalam talian di Melaka yang merekodkan sebanyak 767 kes sejak Januari hingga November lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata nilai kerugian itu meningkat sebanyak RM2.07 juta berbanding tempoh yang sama iaitu RM15.9 juta pada 2020 dengan 772 kes direkodkan.

"Penipuan Macau Scam mencatatkan jumlah kerugian tertinggi iaitu RM5.97 juta dengan jumlah 116 kes diikuti penipuan pelaburan sebanyak RM5.307 juta dengan 134 kes direkodkan.

"Sebanyak RM2.553 juta kerugian direkodkan akibat penipuan 'love scam' dengan 70 kes selain pinjaman tidak wujud (RM2.231 juta) dan 205 kes belian secara dalam talian (RM1.916 juta) setakat November," katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada Program 'High Profile Policing' Kempen Kesedaran Kes-kes Penipuan dalam Kalangan Komuniti dan Pelantikan Duta Kepolisan Masyarakat peringkat Polis Kontinjen Melaka di Jonker Street di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Majid berkata polis mengambil pendekatan baharu dalam kepolisan masyarakat dengan melantik duta-duta dalam kalangan pemimpin masyarakat untuk meningkatkan kesedaran awam dan mendidik mengenai kepentingan membendung jenayah.

Beliau berkata usaha itu termasuk perkongsian panduan pencegahan jenayah untuk disebar luas kepada komuniti selain duta tersebut akan menjadi jurucakap polis dalam memberi nasihat serta kempen pendidikan kepada orang awam.

"Ini adalah projek pertama dan jika kaedah ini dapat membantu meningkatkan keamanan dan ketenteraman di Melaka sebagai negeri pelancongan, kita akan perluaskan konsep melantik duta-duta keselamatan ini untuk membantu pihak polis," katanya. - Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 3:59 PM