ACRYL Sani Abdullah Sani menyerahkan sijil lantikan Duta Anti-Scam JSJK kepada Chong Wei hari ini. FOTO BERNAMA
ACRYL Sani Abdullah Sani menyerahkan sijil lantikan Duta Anti-Scam JSJK kepada Chong Wei hari ini. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) optimis untuk menurunkan sebanyak 10 peratus kadar kes jenayah dalam talian dengan pelantikan 104 individu sebagai jurucakap dan duta bagi kempen Anti-Scam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelantikan 104 individu yang juga pemimpin pendapat utama (KOL) itu adalah sebagai usaha PDRM memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung kes jenayah dalam talian yang semakin berleluasa di negara ini.

"Duta yang dilantik adalah terdiri daripada artis, usahawan, agamawan, pegawai polis, pempengaruh (influencer), penggiat seni dan tokoh sukan.

"Antara individu yang dilantik adalah Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, Datuk Mohd Shukri Shahabudin atau Hattan dan Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi.

"Selain itu, tokoh sukan badminton tersohor iaitu Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Aaron Chia Teng Fong turut tersenarai sebagai duta," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam di Maktab PDRM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din dan Pengarah Urusan Multimedia Creative Solutions Sdn Bhd (MCS) Datuk Steven Lim Boon Siong.

Acryl Sani berkata, seramai 76 duta berkenaan adalah lantikan JSJK, manakala 28 lagi duta di bawah naungan MSC selaku rakan strategik untuk kempen terbabit.

"Pemilihan individu terbabit sebagai duta kerana mempunyai pengikut yang ramai sekali gus memudahkan mereka mendekati orang awam untuk memberi kesedaran berhubung taktik penipuan dalam talian.

"Kes penipuan dalam talian adalah sukar untuk dicegah dan dibendung, namun ia boleh dikawal dengan memberi pengetahuan secukupnya kepada masyarakat.

"Justeru itu, pelantikan duta-duta ini berperanan untuk menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat menggunakan cara tersendiri memandangkan mereka tidak terikat dengan sebarang garis panduan," katanya.

Sementara itu, Lim berkata, pelantikan MSC sebagai rakan strategik JSJK adalah satu penghormatan besar kepada organisasi itu.

"MSC akan bekerjasama dengan JSJK untuk menyebarkan mesej kesedaran menerusi media sosial kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan dalam talian.

"Saya berharap kehadiran duta-duta ini dapat memantapkan kesedaran yang lebih berkesan kepada umum sekali gus membanteras sindiket penipuan di negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 6:23 PM