AYOB Khan meluangkan masa melihat orang awam menunggu giliran penyemakan dan pembayaran saman. FOTO Ahmad Ismail
AYOB Khan meluangkan masa melihat orang awam menunggu giliran penyemakan dan pembayaran saman. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail

[email protected].

Segamat: Pengiring atau marsyal konvoi bermotosikal yang mengawal lalu lintas tanpa pembabitan polis akan ditangkap, kata Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi kepada marsyal konvoi bermotosikal yang bertindak memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat.

Katanya, penggunaan marsyal dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa jua program mestilah dengan kehadiran anggota polis.

"Orang awam atau pengguna jalan raya boleh mengingkari perintah marsyal ini sekiranya mereka melakukan tugas trafik seperti meminta memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan dan melencongkan kenderaan.

"Akta Polis 1967 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 hanya memperuntukkan kuasa kepada pegawai polis, pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan warden trafik pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawal lalu lintas di jalan awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Bertemu Pelanggan di Taman Yayasan, di sini, hari ini.

Menurutnya, individu atau kumpulan yang membuat tindakan memberhentikan, mengawal atau melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota polis akan terus ditahan.

"Polis akan memantau rakaman video, imej, laluan jalan raya, risikan dan maklumat awam di laman sosial yang menunjukkan aksi marsyal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat," katanya.

Terdahulu, Ayob meluangkan masa menyampaikan sumbangan baucar pembelian barangan kepada 20 pesara serta balu polis, selain melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di kaunter sementara yang disediakan di pekarangan sebuah pasar raya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 4:25 PM